GEORGE TOWN – Misteri Penang Woman, rangka manusia berusia lebih 5,000 tahun yang ditemui di Tapak Arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas lima tahun lalu kini terungkai selepas rupa bentuk wajahnya didedahkan hasil usaha pasukan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Cetakan 3D wajah Penang Woman itu telah dibentuk dengan menggunakan kaedah Forensic Facial Approximation (FFA) berdasarkan tengkoraknya sebagaimana Perak Man.
Lakaran wajah Penang Woman yang siap sepenuhnya pada 5 Julai lalu itu dibuat menerusi kaedah 3D virtual reconstruction, oleh sekumpulan penyelidik USM dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.
Ahli pasukan penyelidik USM berkaitan Penang Woman, Shaiful Idzwan Shahidan berkata, pendedahan rupa bentuk wajah Penang Woman merupakan salah satu petunjuk penting yang menunjukkan lebih 5,000 tahun lalu berlaku percampuran dua kelompok ras pada ketika itu yang tinggal di kawasan Guar Kepah.
”Berdasarkan wajah Penang Woman kita dapati di Guar Kepah terdapat percampuran dari kelompok
Australomelanesoid (tipikal orang asli) dan Mongoloid.
”Berdasarkan kajian makmal daripada tulang dan tengkoraknya, beberapa maklumat diperoleh berkenaan Penang Woman iaitu dia berumur sekitar 30 hingga 35 tahun ketika mati, tinggi (150 hingga 152 sentimeter) dan diet utama adalah protein laut,” katanya di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE