Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
SEREMBAN – Seramai 38 mangsa membabitkan 12 buah keluarga daripada tiga buah kampung di Rantau dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat lewat malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Fazlisyah Muslim berkata, tiga kampung yang terlibat ialah Kampung Sega Hilir, Kampung Pasir dan Kampung Siliau.
Jelasnya, kesemua mangsa tersebut kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sega, Rantau.
“Sehingga kini, 38 mangsa yang melibatkan 12 buah keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara manakala terdapat tiga buah keluarga yang terdiri daripada 12 orang penduduk telah berpindah ke rumah keluarga terdekat.
“Kejadian banjir berlaku sekitar pukul 12 tengah malam namun pihak kami hanya boleh memindahkan penduduk pada pukul 5.30 pagi kerana ada kawasan yang telah dinaiki air,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Fazlisyah berkata, banjir yang berlaku di kawasan rendah ekoran hujan berterusan daripada pukul 5.30 petang hingga 12 tengah malam semalam.
“Bagaimanapun, kesemua mangsa selamat dan keadaan ketika ini adalah terkawal dan air di rumah-rumah mangsa masih dalam keadaan statik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, sehingga pukul 1 petang tadi, mangsa banjir masih belum dibenarkan pulang memandangkan hujan yang dikhuatiri lebat dan paras air Sungai Linggi yang masih tidak menurun dan dijangka ia sehingga lewat petang ini.
“Pihak kami tidak membenarkan mangsa di pusat pemindahan sementara pulang walaupun banjir telah reda. Kami risau sekiranya paras air makin meningkat berikutan hujan dijangka lebat pada petang ini.
“Malah kalau saya lihat paras air dilihat berada pada paras 60 milimeter (mm) sehingga menyebabkan air Sungai Linggi melimpah,” katanya.
Sementara itu, katanya, seramai 20 anggota APM telah bersiap sedia berada di pusat pemindahan sementara tersebut.
“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat turut membantu memberi bantuan kepada penduduk di pusat pemindahan,” katanya. – K! ONLINE