BENAR bahawa muzik boleh menjadi penenang jiwa. Malah menurut pakar psikologi, muzik juga sangat baik untuk kesihatan.
Bagaimanapun, seiring masa dan keadaan, muzik juga memerlukan kos untuk dinikmati. Contohnya seperti persembahan tidak kira berskala kecil mahupun mega, bahkan perlu membayar untuk mendengar muzik dalam platform penstriman yang banyak tersedia sekarang.
Bagi setetengah orang, peminat tegar mana-mana penghibur misalnya, mereka tidak hairan memikirkan kos tiket atau langganan demi kepuasan, kenangan dan keseronokan menyaksikan konsert artis kegemaran masing-masing.
Memandangkan ketika ini suhu industri tanah air sedang galak menyajikan banyak penganjuran konsert artis lokal mahupun luar negara yang beratur menunggu giliran,
Gala minggu ini membawakan beberapa kisah penganjuran konsert termahal pernah dianjurkan artis popular.
Beyonce
MENCIPTA populariti sejak debut bersama kumpulan Destiny’s Child pada 1990, tidak hairanlah jika diva terkenal Hollywood, Beyonce memiliki kelompok peminat yang sangat luar biasa di seluruh dunia.
Konsert jelajah penyanyi itu yang diadakan pada 2013 menyaksikan sebanyak lebih 100 persembahan berjaya diadakan di seluruh dunia.
Melihat kepada fenomena tersebut, barangkali ada yang berfikir tiket konsertnya murah dan mampu milik.
Realitinya, harga sekeping tiket konsert Beyonce ketika itu dijual pada harga melebihi AS$700 dolar (RM3,111).
Justin Bieber
TIDAK hairanlah andai penyanyi terkenal Justin Bieber menjadi artis termahal di dunia. Masakan tidak, untuk menyaksikan penyanyi itu di sebuah konsert, peminat perlu membayar harga tiket yang sangat mahal.
Pada 2017, tiket konsert Bieber dijual pada harga lebih AS$1,000 dolar (RM4,444).
Bagaimanapun, penganjuran konsert Bieber pada tahun ini iaitu Justice World Tour 2022 menyaksikan peningkatan harga tiket iaitu melebihi AS$1,500 (RM6,666).
Selepas dua tahun pergerakan terkunci dek pandemik, kedatangan konsert penyanyi itu disambut dengan penuh keterujaan oleh peminat yang sanggup berhabis wang ringgit demi menyaksikan Bieber depan mata.
One Direction
TIKET konsert jelajah kumpulan One Direction pernah menjadi antara yang termahal dijual kepada peminat.
Menerusi penganjuran konsert One Direction – Take Me Home Tour pada 2013, tiket mereka dijual pada harga AS$460 (RM2,044).
Malah ada juga peminat yang sanggup berhabis asal tidak berputih mata dengan membayar sebanyak AS$1,000 (RM4,444) demi tempat yang berdekatan dengan pentas dan pas VIP.Meskipun agak mahal, penganjuran konsert berkenaan melonjakkan populariti One Direction pada 2013. Sebanyak 300,000 tiket berjaya dijual pada hari pertama konsert jelajah mereka diumumkan ketika itu.
Paul McCartney
PENYANYI terkenal Paul McCartney merupakan antara penghibur kelahiran British paling kaya di United Kingdom.
Semasa penganjuran konsertnya pada April lalu, terdapat tiket dijual pada harga AS$9,999 (RM44,439) untuk peminat menyaksikan persembahan penyanyi itu secara dekat.
Kedudukan pembeli tiket berkenaan adalah tiga baris berhadapan pentas. Sementara harga tiket paling murah untuk konsert penyanyi kumpulan The Beatles itu bernilai AS$409.70 (RM1,820).