PETALING JAYA – Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di tujuh negeri sehingga pukul 5 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, cuaca tidak menentu itu melibatkan beberapa kawasan di Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak serta Sabah.
“Bagi negeri Perak melibatkan kawasan Batang Padang dan Muallim, di Pahang pula, kawasan di Lipis, Raub dan Bentong manakala di Selangor di Hulu Selangor serta Hulu Langat.
“Di Negeri Sembilan kawasan yang terjejas di Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Rembau, manakala Johor pula di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sementara di Sarawak pula melibatkan kawasan Samarahan, Miri (Marudi) dan Limbang (Limbang),” katanya hari ini.
Tambahnya, cuaca tidak menentu di Sabah di kawasan Pedalaman (Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat (Kota Marudu).
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE