fbpx

Mahkamah: Firma guaman Zaid Ibrahim nafi tarik diri wakili Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaid Ibrahim menafikan pihaknya akan menarik diri daripada mewakili Najib dalam rayuan akhirnya.

KUALA LUMPUR – Firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) menafikan pihaknya akan menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan akhirnya sekiranya Mahkamah Persekutuan tidak memberikan sebarang penangguhan pendengaran itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Zaid Ibrahim turut menyatakan, firma guamannya juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk berbuat demikian sewaktu pengurusan kes itu di Mahkamah Persekutuan, Rabu lalu.

“Firma saya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners tidak pernah membuat sebarang kenyataan bahawa firma ini akan menarik diri sewaktu pengurusan kes dijalankan dalam kamar. Kami tidak mengabaikan anak guam kami. Sebarang laporan media yang menyatakan sedemikian adalah dikesali.

“Firma saya bersetuju untuk mengambil alih kes ini kerana anak guam kami, Datuk Seri Najib mempunyai rungutan yang sah (letigimate grievance) berhubung sabitannya terutamanya yang membabitkan kedaulatan undang-undang, undang-undang berhubung berat sebelah dan konflik kepentingan.

“Ia merupakan satu tugas yang mulia dipikul oleh mana-mana peguam dalam mewakili anak guam. Dalam berbuat demikian, saya tidak membuatkan keputusan awal dalam kes ini sebagaimana peguam-peguam yang lain. Membuat keputusan merupakan bidang kuasa Mahkamah. Kami sebagai peguam mempunyai tugas untuk membentangkan kes anak guam kami dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Zaid dalam kenyataan tersebut turut menyifatkan laporan berita bahawa peguam akan menarik diri adalah `nakal’, tidak betul dan tidak tepat.

Tambah Zaid, beliau kesal dengan laporan yang didakwa sebagai satu serangan kelas terendah kepada firma guamannya dan dirinya secara peribadi.

Pada Rabu lalu, media melaporkan bahawa barisan peguam Najib akan menarik diri sekiranya Mahkamah Persekutuan akan tetap meneruskan pendengaran rayuan akhir berhubung sabitan salah dan hukuman yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu selepas didapati bersalah dalam penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

ZIST dilantik oleh Najib pada 25 Julai lalu bagi menggantikan firma guaman, Tetuan Shafee & Co, manakala peguam, Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam bela utama menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Zaid juga menafikan tindakannya mengambil alih kes itu pada saat akhir bermotifkan duit.

“Saya ingin tegas kan sepanjang karier saya sebagai peguam dan ahli politik, saya tidak pernah bekerja dengan bermotivasikan duit atau kedudukan. Apa yang penting adalah keadilan. Selain itu adalah sesuatu yang tidak munasabah bahawa tiada sebarang justifikasi boleh diberikan dalam menukar peguam pada saat akhir,” ujarnya.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) turut mengkritik dakwaan bahawa Najib menukar peguamnya pada saat akhir dan melantik firma guamannya adalah untuk melewatkan kes.

Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos iaitu pada 15 hingga 25 Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI