MELAKA – Seorang sami yang juga orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul seorang doktor wanita yang memberikan rawatan kepadanya kira-kira pukul 7.30 petang pada 12 Mei lalu.
Tertuduh, M. Raja Gopal, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang doktor wanita berusia 26 tahun di Katil No 25, wad A-G Nefrologi Blok A, Hospital Melaka dengan niat mencabul kehormatan mangsa.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dalam apa jua cara.
Peguam bela yang mewakili tertuduh P. Thisharmini bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya adalah seorang OKU dan menghidap kencing manis serta angin ahmar serta perlu menanggung lima orang anak perempuan.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.
Beliau turut memerintahkan tertuduh untuk melapor diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran sebelum menetapkan tarikh 26 September ini sebagai sebutan semula. – KOSMO! ONLINE