COLUMBUS, Ohio – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pemasaran, HyperSocial di negeri Ohio berkongsi swafoto dia menangis selepas terpaksa memecat beberapa pekerjanya, lapor laman Gulf News semalam.
CEO tersebut, Braden Wallake kemudian menggelarkan dirinya sebagai ‘The Crying CEO’ selepas status di laman Linkedln tersebut menjadi tular.
Catatan asal Wallake mempunyai lebih 30,000 tanda suka dan 5,300 komen.
Menerusi status berkenaan, Wallake berkata, dia menyayangi semua pekerjanya dan mengaku pemecatan tersebut adalah perkara paling sukar buat dirinya.
“Untuk menghadapi hari seperti ini, saya berharap saya adalah seorang pemilik perniagaan yang hanya mementingkan wang dan tidak mempedulikan siapa yang disakiti dalam mengembangkan syarikat.
“Namun, itu bukan diri saya yang sebenar dan keputusan melepaskan beberapa kakitangan HyperSocial adalah perkara paling sukar pernah saya lakukan sepanjang bergelar CEO,” tulis Wallake.
Namun begitu, tindakan Wallake memakan diri apabila dianggap sebagai strategi pemasaran murahan dan sekadar mahu memancing simpati.
HyperSocial banyak menumpukan pada strategi pemasaran dan jangkauan LinkedIn untuk pelanggannya.
Syarikat kecil itu mempunyai 15 pekerja selepas dua pekerja diberhentikan. – Agensi