AUCKLAND, NEW ZEALAND – Seorang remaja di New Zealand mencipta rekod dunia dengan membina kereta api mainan mempunyai 101 gerabak menggunakan blok permainan Lego, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Menurut Alexander Blong, 14, dia mendapat inspirasi untuk mencipta rekod tersebut selepas berasa bosan semasa New Zealand melaksanakan perintah berkurung Covid-19 sebelum ini.
Alexander berkata, dia turut mendapat ilham membina kereta api Lego itu daripada filem Hollywood kegemarannya, Snowpiercer.
‘Saya berasa bosan dan kebanyakan orang hanya menonton Netflix.
“Terdapat sebuah filem ditayangkan yang amat saya gemari bertajuk Snowpiercer, berkisarkan mengenai sebuah kereta api panjang yang bergerak mengelilingi dunia,” katanya.
Tambah Alexander, dia mengambil masa 50 jam untuk membina kereta api sepanjang 24.9 meter itu.
Usaha tersebut berbaloi apabila Guinness World Records mengesahkan kereta api mainannya mempunya gerabak paling banyak sekali gus mengatasi rekod terdahulu sebanyak 32 gerabak.
“Kejayaan ini amat hebat dan memberikan inspirasi keada saya untuk terus memasang impian serta menghasilkan projek yang lebih besar,” ujarnya. – Agensi