KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu menunjukkan strategi dan kerjasama politik yang UMNO meterai tidak menguntungkan parti itu, malah memencilkan peranannya di Sabah.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun kini hanya pemain politik terpencil dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya. Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka panjang.
“Telah tiba masa Presiden UMNO memberikan pedoman dan hala tuju jelas kepada parti dan semua ahli tentang bagaimana kita harus meneruskan kerjasama kita dengan saingan politik kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, UMNO mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara kerana episod itu telah berakhir.
Menurut beliau, episod seterusnya adalah bagaimana UMNO akan mengemudi negara ini dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui Barisan Nasional (BN) dan bukannya platform politik lain.
Tambah beliau, UMNO akan dinilai dengan apa yang boleh ditawarkan kepada Malaysia, bukan betapa besar pengorbanan UMNO untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional (PN).
“Jika kita terpaksa bersendiri bersama Pas dalam Muafakat Nasional dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai PRU akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera agar dapat menyediakan diri,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, pengorbanan UMNO memberi kerusi terkuatnya kepada parti tertentu pada PRN Sabah telah menjejaskan kekuatan UMNO secara signifikan.
Kata beliau, lebih menyedihkan UMNO terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan untuk melemahkan UMNO.
“Janji yang dimeterai berkaitan potfolio Kabinet pun hampir dimungkiri. UMNO tidak boleh membiarkan episod PRN Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’,” katanya lagi. – K! ONLINE