SERDANG – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengeluarkan produk pembajaan berskala kecil jenama Peladang sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022.
Baja Sebatian 65 dan 45 keluaran NAFAS Bajakimia Sdn. Bhd. (NBKSB) itu adalah untuk memenuhi keperluan tanaman isi rumah yang berkualiti tinggi dan diproses di kilang baja Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB) di Gurun, Kedah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pengeluaran baja tersebut adalah cukup bertepatan dengan masa dan waktu bagi menggalakkan masyarakat untuk bercucuk tanam serta melibatkan diri dalam pertanian.
Menurut beliau, penggunaan kedua-dua baja berkenaan dapat menggalakkan pengeluaran bunga dan buah yang berkualiti serta membantu batang pokok menjadi kuat dan meningkatkan pertumbuhan akar aktif.
“Baja ini adalah untuk kegunaan peringkat bawahan terutama suri rumah bukan sahaja untuk sayuran dan buah-buahan malah untuk tanaman lain dengan harga yang berpatutan.
“Keluaran produk ini juga telah diiktiraf dengan sistem prosedur operasi standard (SOP) dan SIRIM, menjadikan ia antara baja yang terbaik,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob; Pemangku Pengurus Besar NAFAS, Saripol Baharin Karim dan Pengurus Besar NBKSB, Zalifudin Md. Arshad.
Ahmad berkata, kedua-dua baja itu boleh didapati di 279 input rangkaian Pertubuhan Peladang (PP), yang mana ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada petani dan peladang, malah untuk kegunaan masyarakat umum.
“Baja itu akan dijual dengan harga RM10 sekilogram di kesemua rangkaian PP meliputi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta kedai-kedai input terpilih di seluruh Malaysia serta platform jualan dalam talian, Shopee,” katanya.
Sementara itu, NAFAS turut menawarkan jualan harga murah baja berjenama Peladang yang berasaskan makanan dan juga bukan makanan seperti racun dan minyak.
NAFAS juga terlibat sama di Laman Mekanisasi, Laman Padi dan Laman Agro-edutainment yang turut dimeriahkan dengan aktiviti serta pameran produk-produk.