SITIAWAN – Penyakit angin ahmar yang dihidapi bekas pengurus projek rupa-rupanya mempunyai hikmah apabila ia mengubah punca rezeki lelaki itu kepada melukis yang memberi pendapatan lumayan.
Mohd. Azwadi Asad, 48, berkata, dia pernah mendapat RM10,000 sebulan dengan hanya menjual lukisan hasil krerativitinya itu beberapa tahun lalu.
Katanya, dia menjadi pelukis sepenuh masa selepas diserang angin ahmar pada 2016 yang mengakibatkannya terlantar selama setahun.
“Saya gagal cari kerja. Ketika itu saya terfikir untuk buat apa yang saya minat dan sejak itu saya mula melukis semula.
“Ketika itu, saya bergantung sepenuhnya kepada pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial bagi meneruskan hidup bersama isteri, Anita Daud, 48, dan tujuh anak,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Setia Awan Perdana di sini semalam.
Menurut Mohd. Azwadi, pada masa sama dia mula menadah ilmu dengan pelukis terkenal seperti Abey Zoul, Jamal Tommy dan Azman Nor serta aktif di Facebook Gangsta Watakala.
Tambahnya, melalui perbincangan itu, dia belajar untuk mencampur warna dan menggunakan peralatan yang tepat bagi suatu lukisan.
“Saya suka guna warna air dan lukisan hitam putih. Harga bergantung kepada saiz dan tahap kesukaran,” katanya.
Ujar Mohd. Azwadi, lukisan bersaiz A4 dijual RM100, manakala bagi saiz A9 pula RM900 dan mampu menghasilkan 15 lukisan sehari bergantung kepada tahap kesihatannya.
Antara pengalaman manis sepanjang berkarya adalah terlibat dengan pameran di Balai Seni Visual Negara di Kuala Lumpur serta menyertai pameran antarabangsa di Kabupaten Lingga, Kepulauan Riau, Indonesia.
Tambahnya, orang ramai yang ingin melihat atau membeli karyanya boleh melayari laman Facebook dan Instagramnya iaitu Azwadi Aloi Asad ataupun menghubungi talian 017-244 1040.