fbpx

Mahkamah: Ahli Parlimen Labuan gagal batal pertuduhan, kes bicara diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rozman ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini./FOTO AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membatalkan pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah bagi sebuah projek, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas selepas menolak permohonan Rozman selaku pemohon dalam permohonan tersebut.

Dengan keputusan itu, perbicaraan kes yang dijadualkan hari ini dan esok di Mahkamah Sesyen diteruskan.

Dalam alasan penghakimannya, Roz Mawar berkata pertuduhan tersebut adalah sah di sisi undang-undang dan tidak cacat sebelum pertuduhan dikemukakan kepada pemohon (Rozman).

“Pendakwa raya telah melaksanakan budi bicaranya ujian undang-undang dan bukti keterangan yang menghasilkan izin untuk mendakwa. Cerita politik pemohon adalah lain dan berasingan daripada bukti hasil siasatan yang menyebabkan pertuduhan itu. Pemohon mempunyai peluang untuk mempertahankan kedudukannya jika tidak bersalah.

“Jika motif berunsur politik untuk mendakwa itu satu pembelaan kepada pertuduhan atau ada kena-mengena dengan kredibiliti saksi, pemohon ada peluang untuk menunjukkan sedemikian atau menyangkal kes pendakwaan. Pada tahap ini ia adalah pra-matang untuk membatalkan pertuduhan, mahkamah akan memutuskan sama ada pertuduhan berjaya atau gagal dibuktikan terhadap pemohon setelah mendengar saksi dan keterangan,” katanya.

Dalam prosiding sebelum ini, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman ketika berhujah, bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya adalah berniat jahat, bersifat penindasan, penyalahgunaan proses mahkamah serta berunsur politik.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd. Azmi pula berhujah pertuduhan yang dikenakan terhadap permohon adalah terang dan jelas.

“Pihak pendakwaan menghujahkan tiada bukti pertuduhan yang dikenakan terhadap permohon mala fide (berniat jahat) selain pertuduhan berdasarkam bukti dan bukan disebabkan politik,” kata Ahmad Feisal.

Pada 14 Oktober 2021, Rozman, 58, yang ketika itu merupakan Ketua Whip Warisan, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Suapan itu ialah kontrak pekerjaan sebagai Operator Damaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) dan  boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sebelum ini pada 2 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi berlainan telah memutuskan Rozman kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan Rozman agar kes di Mahkamah Sesyen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakimannya Hakim Muhammad Jamil berpendapat, meskipun Rozman mempunyai kedudukan sebagai Ahli Parlimen, status itu tidak mewajarkan perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi walaupun beliau menyatakan kes itu menjadi tumpuan umum dan mendapat laporan media.

Mahkamah berpendirian, bukan menjadi undang-undang bahawa tertuduh yang berkedudukan sebagai Ahli Parlimen, maka perbicaraan harus didengar di Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI