fbpx

Isu bekalan ayam: Pantau syarikat pengeluar ayam pedaging utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan pemantauan ke atas 20 syarikat pengeluar ayam pedaging utama bagi mengesan lebih awal risiko-risiko gangguan bekalan ayam pedaging di peringkat pengeluaran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia merangkumi tiga syarikat integrator dan 17 syarikat non-integrator dan langkah itu supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi memastikan bekalan ayam di pasaran sentiasa stabil.

“Langkah lain yang dilakukan ialah membuat unjuran pengeluaran ayam setiap bulan bagi membolehkan kementerian merangka pelan tindakan sewajarnya sekiranya dijangkakan akan berlaku kekurangan bekalan ayam di pasaran.

“Dalam masa sama, pemeriksaan harian dilakukan bagi memantau kedudukan bekalan serta keberadaan ayam dan telur di setiap rantaian pengedaran iaitu di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan oleh Senator Noraini Idris pada Persidangan Dewan Negara di Parlimen di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, langkah seterusnya ialah mengeluarkan arahan kepada peruncit untuk memperbaharui stok bekalan yang ada di premis masing-masing dan menghubungi pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan bekalan ayam dan telur kembali stabil, KPDNHEP akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

“Ia bagi mengenal pasti punca dan mencari kaedah penyelesaian yang adil dan kondusif bagi memastikan isu kekurangan bekalan telur ayam ketika ini dapat diatasi segera,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI