KUALA LUMPUR – Pemegang rekod baharu acara pecut 100 meter (m) kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi kini berada dalam dilema bagi membuat pilihan terbaik dalam usahanya mengembangkan kerjaya dalam sukan olahraga.
Atlet kelahiran Perak itu memecahkan rekod 100m kebangsaan minggu lalu apabila melakukan catatan 10.09 saat (s) ketika menyertai Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.
Kini, dia berada dalam dilema kerana perlu mempertimbangkan dua tawaran melanjutkan pengajian, sama ada Universiti Houston atau Universiti Auburn yang bertempat di Amerika Syarikat (AS).
Azeem berkata, Universiti Houston merupakan salah satu pusat pengajian yang menjadi pertimbangan kerana sudah melahirkan ramai atlet pecut bertaraf dunia selain dibimbing legenda AS yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik sembilan kali, Carl Lewis.
“Di Houston, komuniti Islam di sana besar yang mana sedikit sebanyak dapat membantu saya dan menjamin keadaan saya di sana. Dari segi latihan, Universiti Houston sudah melahirkan ramai jaguh pecut bertaraf dunia.
“Shaun Maswanganyi dari Afrika Selatan yang turut beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 turut dilahirkan di universiti itu. Ia juga terkenal kerana ketua jurulatihnya adalah Carl Lewis,” katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Colombia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Bagaimanapun, dia kini berada di dua persimpangan kerana turut menerima tawaran daripada Universiti Auburn yang dianggap lebih bagus dari segi akademik berbanding universiti-universiti lain.
Justeru, atlet berusia 18 tahun itu sedia untuk mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan jurulatih bagi mencari kata putus untuk membantunya membuat pilihan terbaik berhubung masa depannya.
“Baru-baru ini saya juga mendapat tawaran daripada Universiti Auburn di mana mereka lebih bagus dari segi akademik berbanding universiti-universiti lain. Setakat ini, dua universiti tersebut berada dalam fikiran saya sekarang.
“Kedua-dua universiti ada kelebihan dan kekurangn masing-masing. Bagaimanapun, kedua-dua universiti ada dalam divisyen satu (saingan olahraga AS), jadi ia beri peluang kepada saya untuk menyertai kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik dan Liga Berlian.
“Saya akan berbincang dengan keluarga dan jurulatih bagi membuat keputusan universiti mana yang terbaik untuk masa depan saya. Banyak proses perlu dilakukan bagi membolehkan saya melanjutkan pengajian di AS,” ujarnya.
Sebagai rekod, catatan masa yang dilakukan Azeem di Colombia membolehkan dia meleburkan rekod kebangsaan milik 10.18s Khairul Hafiz Jantan ketika memenangi Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.- KOSMO! ONLINE