PETALING JAYA – Touch ‘n Go Group dan Shell Malaysia bekerjasama menawarkan Touch’n Go RFID di 88 stesen minyak Shell di seluruh negara dalam usaha memberi pengalaman tanpa tunai kepada para pelanggannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya berasa berbesar hati dapat meluaskan penggunaan RFID selain daripada pembayaran tol dan kini pelanggan boleh membuat pembayaran di stesen minyak Shell tanpa perlu berinteraksi dengan sebarang aplikasi mudah alih atau berinteraksi dengan sistem titik jualan.
Menurutnya, semua pembayaran tersebut boleh dibuat melalui eDompet Touch ‘n Go yang dipautkan kepada Touch ‘n Go RFID pengguna.
“Kami amat bernasib baik kerana telah menemui rakan kongsi seperti Shell, yang berfikiran sama seperti kami dan berkongsi cita-cita yang sama untuk menyediakan pengalaman pemanduan tanpa tunai dan tanpa sentuhan kepada para pelanggan.
“Ini akan membantu kami membuka jalan ke arah menyampaikan tawaran yang lebih inovatif untuk kedua-dua set pelanggan kami, “ katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran Touch ‘n Go RFID di stesen minyak Shell di sini.
Effendy Shah menjelaskan, jumlah stesen minyak Shell yang didayakan dengan pengalaman mengisi minyak tanpa tunai ini dijangka meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang akhir tahun ini.
“Sehingga kini, kami memberi tumpuan untuk mempromosikan RFID sebagai kaedah pembayaran tol, tetapi sebenarnya gabungan infrastruktur RFID dan eDompet membolehkan kami mengembangkan penggunaannya melangkaui tol.
“Kami akan mengembangkan kes penggunaan RFID ke lebih banyak kawasan pada masa hadapan,” jelasnya.
Untuk menggunakan Touch ‘n Go RFID di stesen minyak Shell, para pelanggan perlu pautkan tag RFID Touch ‘n Go kepada akaun eDompet Touch ‘n Go mereka.
Pendaftaran dan pengaktifan perlu dilakukan sekali sahaja melalui eDompet Touch ‘n Go dan setelah pengaktifan berjaya, pelanggan hanya perlu parkir kenderaan di ruang pengisian minyak yang didayakan dengan RFID.
Kenderaan akan dikesan dalam beberapa saat dan pembayaran didebit secara automatik daripada eDompet Touch n’ Go pelanggan untuk membolehkan pengisian minyak. -KOSMO! ONLINE