TALLAHASSEE, FLORIDA – Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan yang membunuh tiga orang termasuk dirinya di negeri Florida, Amerika Syarikat, ketika satu mesyuarat pertubuhan kebajikan sedang berlangsung, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Suspek dilaporkan melepaskan tembakan kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) selepas menceroboh masuk ke mesyuarat pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, Narcotics Anonymous di bandar Edgewater.
Dia membunuh seorang lelaki dan menjadikan seorang wanita sebagai tebusan yang kemudiannya mati ditembak sebelum menembak dirinya sendiri, kata polis.
Ahli lain yang hadir ke mesyuarat itu melarikan diri ketika tembakan dilepaskan sebelum ia bertukar menjadi babak tebusan dan konflik dengan polis bermula.
Jabatan polis Edgewater dilaporkan cuba berunding dengan suspek namun, usaha mereka gagal.
Pasukan Taktikal dan Senjata Khas (SWAT) kemudian memecah pintu bangunan tersebut dan menemui tiga individu termasuk suspek dalam keadaan tidak bernyawa.
“Kami membuat keputusan mendapatkan bantuan pasukan SWAT untuk memecahkan pintu dan menemui tiga mayat,” kata Ketua Polis Edgewater, Joe Mahoney dalam satu kenyataan kepada saluran televisyen Fox35.
Nama suspek dan mangsa masih belum didedahkan kerana polis cuba menghubungi waris mereka. – Agensi