fbpx

Nelayan ditemui mati di dalam bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat Wan Razli yang ditemui mati dipercayai akibat serangan jantung di dalam bot gentian kacanya di Jeti Kuala Kijal dekat sini semalam.

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KEMAMAN – Kerisauan seorang anak tentang bapanya yang masih belum pulang dari laut biarpun sudah hampir senja terjawab apabila mayat nelayan itu ditemui di dalam bot di perairan Kijal dekat sini semalam.

Mayat Wan Razli Wan Hasan, 61, dijumpai terbaring di dalam bot gentian kacanya oleh sebuah bot nelayan lain pada pukul 6.30 petang.

Anak bongsu warga emas itu, Wan Muhammad Azim Wan Razli, 21, berkata, bapanya yang menjadi nelayan pesisir pantai secara sambilan sejak bersara kira-kira dua tahun lalu telah turun ke laut dari Jeti Kuala Kijal dekat sini pada pukul 2 petang.

“Saya risau ayah masih belum pulang ke rumah di Kampung Titian Berayun, Kijal dekat sini walaupun sudah hampir senja, sedangkan biasanya dia tiba selewat-lewatnya pukul 6 petang.

“Kerisauan saya terjawab apabila kami sekeluarga menerima panggilan pada pukul 8.30 malam yang memaklumkan mayat ayah ditemui di dalam bot,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Jeti Kuala Kijal dekat sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Hanyan Ramlan berkata, Wan Razli yang merupakan pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) dipercayai terkena serangan jantung sewaktu sedang menangkap ikan di perairan Kijal.

Beliau berkata, mangsa difahamkan mempunyai sejarah penyakit jantung dan telah beberapa kali menerima rawatan di Hospital Kemaman di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI