LONDON – Polis London terpaksa menutup Tower Bridge buat seketika selepas seorang lelaki memanjat monumen yang terkenal di ibu negara Britain itu, lapor akhbar Daily Star semalam.
“Tower Bridge kini ditutup kepada lalu lintas dan pejalan kaki kerana insiden yang berterusan. Sila cari laluan alternatif,” demikian menurut ciapan Polis London di laman Twitter pada pukul 8.35 malam (waktu tempatan) semalam.
Penutupan jalan itu turut disahkan oleh aplikasi Jambuster yang berkongsi kemas kini pada pukul 8.28 malam (waktu tempatan).
“Tower Bridge (kedua-dua arah) ditutup kerana insiden melibatkan polis,” kata kemas kini tersebut.
Walaupun polis belum menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku, rakaman menunjukkan seorang lelaki naik ke atas struktur sokongan biru dan putih di sisi jambatan menara itu.
Kelihatan ramai pejalan kaki berkumpul di atas jalan di mana polis telah menghalang mereka daripada melintas. – Agensi