fbpx

Tekong darat dicekup bawa tiga PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang digunakan oleh suspek untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum ditahan anggota PGA Batalion 7 di Gual Tinggi semalam.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menahan seorang lelaki dipercayai tekong darat yang membawa tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) di Gual Tinggi di sini petang semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sebelum tangkapan, anggota PGA telah melakukan rondaan bermotosikal di sekitar Rantau Panjang.

Katanya, sewaktu mengadakan rondaan, anggota PGA telah mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di pekarangan Masjid Beijing.

“Kita telah bertindak mengekori kenderaan itu sebelum berjaya menahannya di kawasan Gual Tinggi.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu telah menemui seorang tekong darat bersama dua warga Thailand dan seorang warga Kemboja yang berusia antara 18 hingga 42 tahun,” katanya.

Menurut Azhari, hasil siasatan mendapati suspek yang berusia 35 tahun mengaku sudah beberapa kali terlibat dengan aktiviti mengambil dan menghantar PATI.

Katanya, selain itu, suspek memaklumkan bahawa PATI yang dibawanya itu akan dihantar ke beberapa lokasi di sekitar Kelantan dan Melaka.

“Suspek turut mendedahkan dia sudah acap kali terselamat daripada ditangkap pihak berkuasa dan sempat menikmati upah hasil pekerjaan sebagai tekong darat.

“Suspek dan ketiga-tiga PATI itu dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Azhari berkata, PGA Batalion 7 akan terus meningkatkan lagi rondaan rutin di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dalam usaha mencegah dan mengekang aktiviti jenayah di kawasan berkenaan.

Katanya, PGA sama sekali tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan perlanggaran undang-undang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI