fbpx

MAHA 2022 kian rancak, pengunjung bertali arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung dari seluruh negara tidak melepaskan peluang melihat sendiri keunikan MAHA 2022 yang diadakan di MAEPS, Serdang semalam.

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang masuk hari ketujuh semalam terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung dari seluruh negara.

Seawal pukul 8 pagi, pengunjung tidak putus-putus membanjiri pameran pertanian terbesar itu bagi melihat sendiri teknologi pertanian, penternakan yang ditonjolkan selepas kali terakhir dianjurkan pada 2018.

Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai termasuk kanak-kanak dilihat teruja dan ada antaranya sanggup mengambil cuti untuk merasai kemeriahan MAHA 2022.

Seorang pengunjung Abdul Ghani Roedin, 59, Kangar, Perlis memberitahu, dia tidak melepaskan peluang berkunjung ke MAHA 2022 bersama isteri dan anak-anak bagi melihat keunikan penganjuran pada kali ini.

Selain itu, katanya, mereka memilih untuk ke pameran pertanian itu pada hari bekerja bagi mengelakkan kesesakan pada hujung minggu.

Seorang remaja teruja melihat anak ayam yang berwarna-warni yang dipamerkan di MAHA 2022.

“Hari ini (semalam) tiga anak yang bekerja di sini, ambil cuti bagi mengikuti saya ke MAHA 2022 ini.

“Alhamdulillah, perjalanan ke sini baik dan saya datang untuk dapatkan beberapa pokok durian klon yang murah kerana memang minat dengan durian.

“Antaranya Tupai King, Puteri dan banyak lagi, saya harap di sini boleh dapatkan anak pokok yang lebih murah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pesara, Mohd Tumiran Ahmad, 60, dari Batu Pahat Johor mengambil kesempatan hadir ke MAHA 2022 untuk melihat teknologi pertanian terbaharu.

Menurutnya, ini merupakan kunjungan kali ketiga bersama unit peladang Senggerang yang disertai 40 ahli.

“Kami merupakan peladang kawasan. Saya minat dan terlibat secara langsung dengan perta­nian. Saya mahu dapatkan teknologi terbaharu dan jika kita lihat baja juga ada banyak jenis.

“Selain itu, saya juga mahu tengok buah-buahan yang unik di mana tak boleh dilihat di pasar-pasar biasa. Produk industri pertanian yang diproses kepada produk akhir juga adalah perkara yang saya nantikan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Hafiz Hizwa, 37, tidak juga melepaskan peluang untuk membawa keluarga mengunjungi MAHA 2022.

“Kami dari Batu Kikir, Negeri Sembilan dan sampai pukul 10.30 pagi tadi (semalam). Saya ingin mendedahkan pada anak-anak tentang industri pertanian.

“Saya dan isteri, kami memang tidak terlibat dengan pertanian, namun apabila dibesarkan di kampung, adalah juga pengalaman itu. Itulah yang dikongsikan bersama anak-anak hari ini,” ujarnya.
MAHA 2022 berlangsung mulai 4 Ogos merekodkan sebanyak lebih 700,000 pengunjung dengan jualan terkumpul sebanyak RM153.3 juta setakat semalam.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI