fbpx

Virus maut Langya muncul di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Langya adalah virus bawaan tikus dan tergolong dalam keluarga sama dengan virus Nipah. - UniLad

BEIJING – Sejenis virus baharu digelar Langya dipercayai menjadi punca berpuluh-puluh penduduk China mengalami simptom seperti selesema dengan pakar-pakar kesihatan menyuarakan kebimbangan berikutan jangkitannya yang boleh membawa maut, lapor portal berita MailOnline.

Henipavirus Langya atau LayV dikesan pada 35 orang di wilayah timur Henan dan Shandong. Namun, tiada kes yang mengakibatkan kematian dan kebanyakannya bergejala ringan dengan pesakit mengalami simptom seperti selesema.

Kebarangkalian bagi virus Langya membawa maut adalah tiga perempat dalam kes yang serius.

Satu kajian yang diterbitkan mendedahkan virus itu mula dikesan pada manusia pada 2019 dengan kes terbaharu kembali muncul tahun ini.

Pakar yang menyiasat virus itu percaya bahawa kes manusia adalah sejenis ‘sporadik’. Sporadik merupakan kes di mana individu tidak mempunyai sejarah perjalanan dan tidak berhubung dengan kontak rapat Langya, namun disahkan positif virus tersebut.

Penyelidik yang diketuai oleh Institut Mikrobiologi dan Epidemiologi Beijing menerbitkan penemuan mereka mengenai virus itu dalam New England Journal of Medicine.

Mereka mengesan kes pertama sebelum Januari 2019 di Shandong yang mendorong kepada kewujudan kluster 14 kes ditemui pada tahun berikutnya di kedua-dua wilayah.

Tiada jangkitan ditemui pada tahun pertama pandemik Covid-19 iaitu pada Januari hingga Julai 2020 dengan penyelidik menghentikan kerja penyelidikan untuk mencegah penyebaran Covid-19.

Penyelidik mengesan simptom pada pesakit untuk melihat keterukan keadaan mereka yang dijangkiti virus itu.

Simptom paling biasa dialami oleh pesakit Langya adalah demam dengan semua individu yang dijangkiti mengalami peningkatan suhu badan yang agak tinggi.

Ia diikuti dengan keletihan (54 peratus), batuk (50 peratus), hilang selera makan (50 peratus), sakit otot (46 peratus) dan rasa mual (38 peratus).

Sekitar 35 peratus pula mengalami masalah berkaitan hati, manakala lapan peratus mengalami kemerosotan fungsi buah pinggang.

Selain itu, di samping tikus, virus itu juga dikesan pada anjing (lima peratus) dan kambing (dua peratus).

“Tiada hubungan rapat atau sejarah pendedahan biasa dalam kalangan pesakit, yang menunjukkan bahawa jangkitan dalam populasi manusia mungkin bersifat sporadik.

“Pengesanan kenalan sembilan pesakit dengan 15 ahli keluarga kenalan rapat mendedahkan tiada penularan Langya dalam kontak rapat,” demikian menurut kajian tersebut.

Langya berasal daripada keluarga yang sama dengan virus Nipah iaitu patogen maut yang biasanya ditemui dalam kelawar.

Seperti Covid-19, Nipah boleh merebak melalui titisan pernafasan namun, ia jauh lebih membawa maut, membunuh sehingga tiga perempat orang yang dijangkitinya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI