KOTA TINGGI – Seorang bekas juruteknik kilang kini mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM1,000 sehari menyamai gaji sebulannya ketika bekerja dahulu selepas mengusahakan tanaman timun di Bandar Tenggara di sini.
Noresam Maon, 44, berkata, kebun seluas hampir satu hektar diusahakan sejak lima tahun lalu itu kini telah masuk musim ke 25 tanaman.
Katanya, pelbagai tanaman pernah diusahakan menggunakan kaedah fertigasi antaranya tembikai dan cili, namun kini fokusnya kepada tanaman timun kerana hasilnya cepat diperolehi.
“Bagi tanaman timun untuk 4,200 polibag, dalam semusim saya boleh tuai sehingga 20 tan. Jika nilai kasar, pulangan boleh perolehi sehingga RM30,000 untuk semusim.
“Saya sebelum ini bekerja sebagai juruteknik kilang kemudian bekerja sebagai kontraktor sekejap di Bandar Tenggara. Selepas tamat kontrak saya rasa malas hendak keluar dari sini, jadi dari situ bermulanya nekad untuk terjun dalam bidang pertanian.
“Saya memang tidak ada asas dalam pertanian cuma ayah dahulu memang suka menanam sayuran di tepi rumah, itu pun untuk makan sahaja. Saya banyak belajar daripada pekebun-pekebun lain, datang ke kebun mereka dan bertanya sebelum usahakan sendiri,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, pelaburan sebanyak RM30,000 sebagai modal untuk membangunkan sistem fertigasi menggunakan wang simpanan untuk menceburi bidang pertanian itu ternyata berbaloi.
Ujar Noresam, keputusannya itu dilihat sebagai tepat apabila kini dapat menikmati lebihan masa yang berkualiti bersama keluarga di samping pendapatan yang agak berbaloi.
Menurutnya, keadaan itu tidak dapat dirasai ketika dia bekerja makan gaji kerana perlu keluar pagi dan pulang rumah lewat petang.
Bercerita lanjut, Noresam berkata, sepanjang lima tahun dalam bidang itu, pelbagai cabaran dilalui termasuklah pernah membuang timun sehingga satu tan sehari akibat berlaku lambakan dan tiada pasaran.
“Ketika itu, masa mula-mula tanam saya tidak pandai hendak pasarkan, lama-lama lepas pergi kursus baru tahu cabangnya,” jelasnya Noresam.