fbpx

Lebih 13,000 permohonan Skim Jaminan Kredit Perumahan diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13,038 permohonan di bawah pelaksanaan Skim Jaminan Kredit Perumahan telah diluluskan sejak tahun 2008 sehingga 31 Mei 2022.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Mohd. Shahar Abdullah berkata, dalam usaha meningkatkan jumlah penyertaan daripada golongan sasar, kerajaan telah meneruskan skim tersebut melalui penyediaan jaminan sehingga RM2 bilion menerusi Bajet 2022.

“Usaha tersebut dijangka akan memanfaatkan seramai 5,000 hingga 6,000 isi rumah sasar termasuk golongan muda, pekerja gig dan usahawan mikro bagi membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri.

“Selain itu, skim ini turut ditambah baik di mana had jaminan pembiayaan telah dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM400,000 yang turut merangkumi yuran guaman dan yuran penilaian hartanah,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Arman Abu Hanifah yang ingin tahu jumlah penerima manfaat Skim Jaminan Kredit Perumahan seperti mana diumumkan kerajaan dalam Bajet 2022 dan apakah langkah-langkah bakal dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan peserta dalam program tersebut.

Katanya, bagi meningkatkan kesedaran kepada golongan sasar berhubung kewujudan Skim Jaminan Kredit Perumahan, beberapa inisiatif telah diambil untuk mempromosikan program tersebut seperti promosi bersama di antara Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah program I-Biaya.

“Selain itu, penglibatan SJKP di bawah program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang meliputi setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak serta melakukan promosi melalui media massa dan elektronik selain papan iklan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan juga menjalankan kerjasama erat dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti institusi-institusi kewangan dan pihak pemaju bagi tujuan promosi bersama dan kelulusan permohonan pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan,” jelasnya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa komited untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif bagi membantu semua golongan terutamanya B40 untuk memiliki rumah sendiri pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI