PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang didakwa hilang ketika berjoging di TTDI Bukit Kiara awal pagi semalam dilaporkan telah ditemui.
Difahamkan, Muhammad Fazril Rashid, 19, didakwa tidak dapat dijejaki selepas keluar dari rumah kira-kira pukul 6 pagi untuk joging.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur hari ini memaklumkan remaja terbabit kini berada di Kedah bersama keluarga.
Sementara itu, kakak kepada remaja lelaki berkenaan, Farah Wahida Rashid, 38, mengesahkan bahawa remaja berusia 19 tahun itu telah ditemui dalam keadaan selamat.
“Semasa hilang dari pagi semalam, dia belum berada di Kedah lagi, masih berada di sekitar Kuala Lumpur.
“Ketika itu, keluarga kami tidak mendapat sebarang maklumat berhubung keberadaan adik,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung kehilangan remaja berkenaan yang mana kali terakhir dilihat memakai seluar tomoi serta memakai kasut berwarna merah dan putih. – KOSMO! ONLINE