ALOR SETAR – Penganjur Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) akan dipanggil memberi penjelasan berhubung penampilan menjolok mata seorang model pada acara tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, tindakan akan dikenakan ke atas pihak berkenaan jika mereka didapati melanggar peraturan ditetapkan.
Katanya, hasil semakan awal mendapati pihak penganjur juga tidak memohon permit dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya menerima aduan mengenai penganjuran KFW22 yang menampilkan model dengan pakaian yang menjolok mata.
“Pihak saya akan memanggil penganjur untuk meminta penjelasan seterusnya mengenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.
Semalam, tular di media sosial gambar seorang model berpakaian menjolok mata pada KFW22 yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini pada minggu lalu. – KOSMO! ONLINE