KUALA LUMPUR – Pengunjung pusat beli belah Suria Pusat konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) terpaksa mengosongkan premis dalam keadaan cemas susulan berlaku kebakaran di bilik sauna di salah satu premis di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 5.21 petang.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah serta BBP Titiwangsa dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, bomba mendapati berlaku kebakaran di dalam sebuah bilik sauna berukuran 2.13 x 3.65 meter persegi yang berada di aras G, Menara 3, Suria KLCC,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya sembilan minit kemudian manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
Tambahnya, kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan premis sekitar 80 peratus dan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. – KOSMO! ONLINE