KETIKA Kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran dengan membawa pulang tujuh pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham, namun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan tiga jenis sukan dalam keadaan membimbangkan selepas gagal mencapai sasaran ditetapkan.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berpendapat, kebergantungan kepada muka-muka lama tidak memberi impak dan menuntut tiga sukan seperti terjun, boling padang dan olahraga melihat semula struktur pembangunan serta merombak program latihan mereka.
Antara sukan yang disebut gagal mencapai sasaran pingat emas ialah sukan terjun, boling padang dan olahraga turut berada dalam senarai sejurus mempamerkan persembahan mengecewakan.
Pada temasya itu, skuad terjun negara disasarkan sebutir pingat emas, namun kandas apabila ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang sering menyumbang pingat pada temasya itu sejak 2010 gagal meraih sebarang pingat. Skuad terjun negara gagal melepasi sasaran apabila meraih tiga perak dan satu gangsa.
“Penerjun negara lain yang lebih muda membuktikan program latihan di negara seperti England, Australia dan Kanada telah berjaya melahirkan ramai atlet pelapis berwibawa berbanding Malaysia yang masih mengharapkan muka-muka lama untuk bersaing.
“Persatuan Renang Malaysia disarankan untuk melihatkan program pembangunan sukan terjun di pelbagai peringkat bagi persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2024 , Sukan Asia 2023/2026 dan Sukan Komanwel 2026,” kata Norza.
Sementara itu, boling padang yang disasarkan untuk memenangi satu pingat emas, namun hanya mampu membawa pulang satu perak dan gangsa, sekali gus gagal mengulangi pencapaian satu emas sewaktu di Gold Coast 2018.
“Pihak persatuan disarankan untuk merombak struktur program latihan dan memberi peluang muka-muka baharu untuk mewakili negara pada masa akan datang.
“Kebergantungan kepada atlet-atlet sedia ada setelah beberapa kali penyertaan pada Sukan Komanwel perlu diubah,” tambah Norza.
Norza berkata, MOM turut menuntut sukan olahraga mengkaji penyertaan atlet-atlet mereka di peringkat Sukan Komanwel yang masih tidak dapat mempamerkan prestasi diharapkan.
“Kita harus akur bahawa prestasi sukan olahraga hanya berlegar di peringkat Sukan SEA dan ini perlu diubah untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Nauraj Singh yang gagal mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA Vietnam tidak menunjukkan kesungguhan untuk mempamerkan prestasi terbaik di Birmingham. Dia hanya melepasi ketinggian 2.05m dan gagal melepasi ketinggian 2.10m.
“Kegagalan atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin untuk perbaiki catatan peribadi dan kegagalan Andre Anura Anuar dalam acara lompat jauh seharusnya membuka mata Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk melihat program latihan sedia ada,” ujarnya.