WASHINGTON – Satu kajian mendapati bencana iklim seperti banjir, gelombang haba dan kemarau telah menyebabkan lebih separuh daripada ratusan penyakit berjangkit termasuk demam malaria, hantavirus, kolera dan antraks menjadi lebih buruk, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change itu mengkaji bukti perubatan pelbagai penyakit.
Ia mendapati 218 daripada 375 penyakit berjangkit yang diketahui manusia atau bersamaan 58 peratus, menjadi lebih buruk disebabkan oleh salah satu daripada 10 jenis cuaca ekstrem akibat perubahan iklim.
Kajian itu turut memetakan 1,006 laluan bagaimana bencana iklim boleh membawa penyakit kepada manusia. Dalam sesetengah kes, hujan lebat dan banjir mencetuskan penyakit pembawaan nyamuk, tikus dan rusa kepada manusia.
Selain itu, lautan yang semakin panas dan gelombang haba mencemarkan sumber laut dan pelbagai makanan lain, manakala kemarau membawa kelawar yang menyebarkan jangkitan virus kepada manusia.
“Sekiranya iklim berubah, risiko dijangkiti penyakit berjangkit juga berubah,” kata pengarang bersama kajian, Dr. Jonathan Patz.
Menerusi kajian sama, pasukan penyelidik itu turut mengkaji semua jenis penyakit berkaitan manusia termasuk penyakit tidak berjangkit seperti asma, alahan dan gigitan haiwan untuk melihat bilangan penyakit yang mempunyai kaitan dengan perubahan iklim.
Mereka menemui sebanyak 286 penyakit unik dan 223 daripadanya menjadi semakin teruk disebabkan bencana iklim.
Ketua pengarang kajian itu, Camilo Mora berkata, pasukannya turut menyiasat kes perubatan berkaitan Covid-19 bagi melihat bagaimana wabak itu mempunyai hubungan dengan bencana iklim.
Hasilnya, mereka mendapati terdapat sejumlah kes di mana cuaca ekstrem memburukkan dan dalam masa sama, mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.
Contohnya dalam beberapa kes, gelombang haba di kawasan kejiranan miskin menyebabkan orang ramai berkumpul untuk menyejukkan badan yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada jangkitan Covid-19.
Dalam situasi lain pula, hujan lebat mengurangkan penularan Covid-19 kerana orang ramai kekal di rumah. – Agensi