fbpx

Lelaki daki gunung sambil tutup mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ed mengakui berasa seperti ingin membuka penutup matanya untuk melihat keindahan alam semula jadi ketika mendaki. – Ed Smith

BANGKOK – Seorang pelajar Universiti Cambridge di England berjaya  menawan puncak sebuah gunung di Thailand dalam keadaan matanya  ditutup, lapor laman berita Thaiger semalam.

Ed Smith melakukan cabaran itu sebagai  penghormatan kepada saudara perempuannya, Harriet  yang cacat penglihatan semasa lahir dan dalam masa yang sama, cuba mengumpul derma bagi tujuan amal.

Ed, 21, yang berasal dari Northamptonshire, England, mendaki Gunung Doi Suthep dekat Chiang Mai bersama teman wanitanya, Eimear Pickstone.

Pengembaraan tiga hari mereka yang bermula pada 11 Julai lalu itu berjaya mengumpul sejumlah wang untuk badan kebajikan yang selama ini menyokong  Harriet.

Menurut Ed, dia mengaku terdetik  untuk membuka penutup matanya supaya dapat melihat keindahan alam semula jadi di sekeliling mereka, namun tetap bertahan. Dia hanya membuka penutup mata  tersebut semasa  membasuh muka, namun tetap memejamkan matanya.

“Apabila melihat kembali gambar-gambar yang dirakam, saya berasa aneh kerana ia amat hebat. Saya  melakukan perjalanan tanpa henti untuk mendaki, makan, minum, berenang dan pelbagai aktiviti lain dalam keadaan mata ditutup.

“Perkara paling sukar sebenarnya bukan mendaki gunung, sebaliknya saya perlu bergantung sepenuhnya kepada Eimear seperti meminta dia menghulurkan botol air atau membantu mencari ubat gigi,” kata Ed.

Tambah Ed,  pendakian ke puncak Doi Suthep amat curam dan mencabar, malah mereka  perlu meredah hutan tebal serta mengharungi cuaca buruk seperti hujan tanpa laluan yang jelas.

“Banyak perkara yang saya pelajari mengenai keberanian, kekuatan dan kehebatan saudara perempuan saya  serta semua cabaran yang dia hadapi selain lebih mengenai diri sendiri,” ujarnya.

Setakat ini, pengembaraan Ed berjaya mengumpul dana sebanyak £3,300 (RM17,771) untuk Institut Negara Diraja bagi Orang Buta (RNIB). – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI