GEORGE TOWN – Gambar-gambar mat motor yang terlibat dengan aktiviti merempit dan lumba haram kini akan dirakam menerusi kamera pihak berkuasa sebelum mereka ditahan untuk tindakan lanjut.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata, pendekatan baharu yang diambil pihak berkuasa adalah bagi membendung kegiatan mat rempit selain memelihara keselamatan pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, sebelum ini pihak polis dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan berada dilapangan untuk melakukan ‘serang hendap’ terhadap mereka yang terlibat dengan kegiatan mat rempit.
”Namun, cara ini membahayakan anggota penguatkuasa serta mereka yang berada di lokasi-lokasi berhampiran dengan kegiatan lumba haram ini. Kita ambil pendekatan secara defensif iaitu menggunakan kamera-kamera untuk melihat dan memperolehi gambar suspek yang terlibat.
“Selepas itu, polis akan menahan suspek sama ada di rumah atau di premis tempat kerja mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Isham memberitahu, golongan muda yang terjebak dengan aktiviti lumba haram itu dinasihatkan agar berhenti daripada melakukan kegiatan itu memandangkan kerajaan telah mengambil langkah bersepadu untuk menangani isu mat rempit itu.
“Anak muda yang ingin ambil bahagian dalam aktiviti jijik ini dinasihatkan agar berhati-hati kerana kerajaan mengambil serius isu ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim pula berkata, pihaknya berharap pendekatan baharu bagi membendung kegiatan mat rempit dan lumba haram itu akan berjaya digunapakai di Pulau Pinang dan kemudiannya diikuti di negeri-negeri lain.
“Fenomena mat rempit ini berlaku secara menyeluruh di seluruh negara, namun perhatian diberikan lebih kepada Pulau Pinang apabila berlaku kematian membabitkan sekumpulan mat rempit.
“Berdasarkan statistik sejak Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 1,096 operasi samseng jalanan dijalankan di seluruh negara dan seramai 1,451 pesalah atau mat rempit ditahan dengan 21,258 saman dikeluarkan manakala 2,200 kenderaan disita,” katanya.
Tambahnya, daripada jumlah itu, Perak merekodkan operasi samseng jalanan paling tinggi iaitu 286 operasi dan 4,597 saman dikeluarkan diikuti Pulau Pinang sebanyak 157 operasi membabitkan 4,444 saman disusuli Johor sebanyak 157 operasi dan 1,436 saman. – KOSMO! ONLINE