LIVERPOOL – Di sebalik prestasi baik yang diserlahkan sejak beberapa musim ini, masalah kecederaan pemain utama Liverpool seakan tiada berkesudahan dan kali ini mungkin mereka terpaksa melupakan khidmat pemain tengahnya, Thiago Alcantara.
Masalah tersebut seakan menjadi badi buat The Reds, namun pengendalinya, Jurgen Klopp enggan terlalu panik dan akan terus berusaha mencari jalan keluar.
“Kami masih ada lapan pemain tengah dan buat masa ini, hanya sebahagian daripada mereka yang mengalami kecederaan. Ini bukan situasi terbaik buat kami, namun kami tidak akan berasa panik.
“Kami perlu melihat bagaimana pasukan ini bertindak balas. Situasinya (Alcantara) tidak begitu baik tetapi kita tunggu dan lihat saja,” katanya merujuk kepada keputusan imbasan kecederaan hamstring Alcantara.
Walaupun Klopp tetap berharap Alcantara mampu kembali dengan lebih cepat, pemain dari Sepanyol itu mungkin akan tersisih daripada pasukan untuk tempoh beberapa minggu dan situasi ini nyata akan beri kesan kepada Liverpool.
Selain Alcantara, pemain lain yang dilaporkan turut cedera adalah Naby Keita, Ibrahima Konate, Curtis Jones, Alex Oxlade-Chamberlain, Kostas Tsimikas dan Diogo Jota.
Dalam aksi pertama menentang Fulham di Craven Cottage, Sabtu lalu, Alcantara terpaksa digantikan dan situasi ini mungkin menyebabkan Klopp kembali aktif dalam jendela perpindahan pemain yang bakal ditutup hujung bulan ini.
Bagaimanapun, Klopp seakan lebih selesa menggunakan pemain sedia ada dan menyifatkan pembelian baharu hanya relevan jika mengambil kira situasi jangka masa panjang. – AGENSI