fbpx

Lelaki warga Indonesia patah kaki cuba larikan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzaimee (kiri) ketika melakukan pemeriksaan di dalam sebuah premis rumah kedai menerusi Ops Kutip malam tadi.

KAJANG – Cubaan seorang lelaki warga Indonesia melarikan diri gagal apabila mengalami kecederaan patah kaki akibat nekad terjun dari tingkat empat bangunan rumah kedai sebelum diberkas di Kompleks Hentian Kajang, pada tengah malam tadi.

Serbuan Ops Kutip yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada pukul 12 tengah malam itu juga berdepan kesukaran apabila warga asing enggan memberikan kerjasama menyebabkan pegawai penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu kediaman kira-kira 10 hingga 15 unit rumah kedai.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil pemeriksaan ke atas 425 individu itu mendapati seramai 175 warga asing tidak mempunyai dokumen yang sah dan masuk menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh.

“Susulan itu, kita menahan kesemua individu itu yang terdiri daripada 132 lelaki, 41 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia lingkungan dua hingga 55 tahun.

“Individu yang ditahan membabitkan 115 warga Myanmar, 33 warga Indonesia, 13 warga Bangladesh, sembilan warga Nepal, empat warga Sri Lanka dan seorang warga India,” katanya ketika ditemui di lokasi, awal pagi tadi.

Menurut Dzaimee, terdapat warga asing yang ditahan adalah pencari suaka warga Myanmar iaitu dari etnik Shan yang mempunyai surat Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan mempunyai keluarga di sini.

Jelasnya, kebanyakan warga asing yang ditahan bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran, pekerja kilang dan pemotong rumput di sekitar kawasan terbabit.

“Selain itu, kita juga menemui sebuah premis yang dipercayai pusat judi dalam talian, namun semua individu di dalam premis berkenaan melarikan diri melalui tingkap yang diumpil.

“Pemeriksaan di dalam premis itu yang dilengkapi dengan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) turut menemui kira-kira 20 komputer riba dipercayai digunakan bagi kegiatan judi dalam talian,” ujarnya.

Tambahnya, semua tahanan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI