KUALA LUMPUR – “Hati saya berdebar-debar.”
Demikian pengakuan usahawan sensasi, Datuk Seri Vida yang mengakui hatinya berdebar-debar ketika pertama kali digandingkan dengan bekas pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli dalam sebuah filem berjudul Gui.
Akui Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 50, dia terkejut kerana pihak produksi tidak memaklumkan terlebih dahulu mengenai penglibatan Iqbal dalam filem tersebut.
“Saya pergi ke set penggambaran tetapi tak tahu tentang skrip dan para pelakonnya. Dalam filem tersebut saya pelu jadi guru besar.
“Bila saya lihat dia, memang pandai pihak produksi mempermainkan kami tetapi tak akanlah saya nak bergaduh atau berbalah di situ.
“Saya tak mahu susahkan orang, hadap sajalah,” katanya kepada Kosmo! Online dketika ditemui di Majlis Pelancaran Drama Demi di sini hari ini.
Tambah pelantun lagu I Am Me berkenaan, dia turut melihat keperibadian Iqbal semakin matang berbanding sebelum ini.
Malah, dia turut mengakui tertanya-tanya mengapa pelantun lagu Hujan itu masih belum mendirikan rumah tangga sehingga hari ini.
“Nampak dia matang sikit sekarang dan tiada sebarang niat pun nak serang dia.
“Perasaan? Berdebar-debar tapi kenapa dia tak kahwin-kahwin? Dia masih menunggu ke?” ujarnya.
Katanya lagi, mereka juga tidak berkomunikasi di set penggambaran dan hanya melaksanakan kerja yang diberi.
Sementara itu, Iqbal ketika dihubungi memberitahu pembabitannya dalam filem tersebut merupakan pertemuan pertamanya dengan Vida selepas setahun ‘bermusuhan’.
“Sebenarnya ini kali pertama kami bertemu selepas ‘bergaduh’ sejak setahun lalu.
“Situasi ketika itu juga agak janggal dan tidak berbual dengannya tetapi dia main dengan Ahmad Ziyad (anak angkat Iqbal).
“Namun, atas dasar profesional, saya teruskan sahaja penggambaran filem ini.
“Cuma saya tertanya-tanya mengapa Vida tak tahu kehadiran saya sedangkan ada produknya dalam filem tersebut,” katanya lagi.
Menjawab tanda tanya Vida mengapa dia masih belum mendirikan rumah tangga, iqbal memberitahu agak sukar untuk menemui wanita untuk dijadikan seorang isteri.
“Zaman sekarang susah sebenarnya nak kahwin. Bukan memilih tetapi untuk bertemu wanita yang sesuai agak sukar juga.
“Saya hanya mencari seorang wanita yang boleh memahami dan tidak banyak kerenah,” katanya lagi.
Difahamkan, filem Gui yang bergenre seram komedi itu turut dibintangi oleh Elly Mazlein dan Azad Jasmin.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan Vida dan Iqbal berlakon dalam salah satu babak untuk sebuah projek filem.
Menerusi babak tersebut, mereka turut diminta menyanyikan single masing-masing iaitu Ku Ikhlaskan dan Hujan.
Iqbal mengambil keputusan berhijrah ke seberang pada November 2021 untuk mencari ketenangan selepas kisah kahwin tak jadinya Vida dikecam hebat.
Hubungan mereka menjadi tegang sejak perancangan untuk mendirikan rumah tangga mendapat tentangan anak-anak wanita itu, sehinggalah berlanjutan dengan perpisahan kononnya angkara sihir dan akhirnya menjadi perang media sosial tanpa penghujung. – K! ONLINE