BEIJING – China mengerahkan pesawat pengebom berkeupayaan nuklear, H-6K menyertai latihan tentera di Selat Taiwan ketika kebimbangan semakin meruncing bahawa Beijing akan menyerang Taipei, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Perkembangan itu berlaku ketika Beijing dikatakan mempersiapkan senjata nuklearnya.
China berterusan meningkatkan latihan tentera di perairan berhampiran Taiwan dan pakar-pakar percaya bahawa Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) perlu menyediakan lebih dua juta askar sekiranya ingin menakluki pulau itu.
Antara yang dikerahkan dalam latihan ketenteraan besar-besaran kelmarin termasuk H-6K yang merupakan pesawat paling memusnahkan milik PLA.
Direka untuk penerbangan jarak jauh, jet tersebut memiliki jarak tempur lebih 2,896 kilometer sebelum perlu mengisi semula bahan ap. H-6K turut dilengkapi peluru berpandu kruz.
Kerahan jet pengebom nuklear itu merupakan pengakhiran bagi latihan tentera empat hari oleh Beijing sebagai tindak balas terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taiwan minggu lalu.
Media pemerintah, Global Times melaporkan, latihan tentera itu merupakan misi untuk melemahkan usaha tuntutan ‘kemerdekaan’ Taiwan dan menggalakkan proses penyatuan semula antara pulau itu dengan tanah besar China.
Akhbar yang menjadi lidah pemerintah itu turut mengakui bahawa kerahan pesawat pengebom H-6K tersebut adalah merupakan latihan bagi serangan sebenar yang berpotensi berlaku.
Sementara itu, beberapa rakaman di laman Twitter memaparkan pesawat tentera PLA terbang melintasi Selat Taiwan di tengah-tengah laporan bahawa Beijing mungkin menetapkan matlamat menawan Taiwan dalam masa cuma 48 jam.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan kelmarin bahawa pihaknya mengesan sebilangan pesawat, kapal perang dan dron milik China beroperasi di sekitar Selat Taiwan.
Menurut beberapa pegawai Taipei, latihan tentera tersebut merupakan simulasi serangan terhadap pulau utama Taiwan dan kapal-kapal perangnya.
Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang kelmarin mengulangi kecaman terhadap latihan tentera yang dilakukan Beijing menerusi satu sidang akhbar.
“Bukan sekadar Taiwan, bahkan negara-negara lain di rantau ini dan negara yang cintakan kebebasan seperti AS telah membantah sekeras-kerasnya serta mengutuk operasi tentera China menggugat keamanan dan kestabilan serantau.
“Kami menggesa pemerintah China supaya tidak meneruskan aktiviti di Selat Taiwan tidak terus mengerahkan pasukan tenteranya serta mengganggu keamaan serantau,” katanya. – Agensi