fbpx

Amaran ‘kuasa’ seorang wartawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
TENGKU SUZANA RAJA HAMAT, PENOLONG PENGARANG BERITA

“DIUNDANG buat tak layan, susah sangat nak datang, ini makannya.”

Itu antara kata-kata spontan yang terhambur bersama standing ovation usai menyaksikan wawancara kerusi kosong oleh personaliti televisyen popular Indonesia, Naj­wa Shihab, Isnin lalu.

Lucu, namun akhirnya kagum!

Pertama, kagum atas cetusan idea luar kotak yang mungkin tidak pernah dilakukan mana-mana personaliti televisyen lain sebelum ini, namun Najwa, ikon televisyen yang mengawali karier sebagai wartawan penyiaran pada tahun 2001 itu telah melakukannya secara langsung dalam saluran televisyen.

Kedua, kagum idea dan pendirian Najwa yang selama ini unggul dengan komentar-komentar bernas berhubung banyak isu kemasyarakatan dan kenegaraan yang pastinya dipersetujui majikannya.

Idea gila yang berhasil dan Najwa mengendalikan interviu tanpa bayang tetamu bernama Terawan itu dengan bergaya. Sungguh menginspirasikan.

Dalam video pendek yang turut disebarkan menerusi media sosial itu, Najwa, si pengacara Trans7 yang juga pengasas Narasi TV itu mewawancara kerusi kosong sebagai ganti Menteri Kesihatan Indonesia Terawan Agus Putranto menerusi programnya, Mata Najwa.

Seperti mengumpulkan jutaan pertanyaan daripada jutaan rakyat Indonesia yang bernanah sejak berbulan-bulan lalu, soalan-soalan Najwa untuk tokoh yang dibahasakan Pak Terawan itu bagaikan mesingan.

Misinya, mahu mempersembahkan gambaran sebenar pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan di republik itu kepada penonton setianya.

Soalannya tajam, bertubi-tubi dan sebenarnya, jika tanpa persediaan dan kebijaksanaan yang setanding, keputusan tidak hadir bersemuka dengan Najwa sebenar­nya paling bijak buat Terawan agar tidak secara terang-terangan memperlihatkan lebih banyak kelemahan beliau sebagai pemimpin low profile sebagaimana sindiran pengacara itu.

Bukan tidak ada personaliti televisyen tanah air yang cantik rupawan berlian akalnya, namun apa dilakukan personaliti tanah seberang Najwa Shihab ialah komitmen tersanjung untuk bidang kewartawanan yang diladeninya sejak tahun 2001 itu.

Dunia kewartawanan khususnya penyiaran pernah menyaksikan ketokohan si jelita Wan Zaleha Radzi, Norzie Pak Wan Chik atau Nurul Shuhada Nurul Ain, namun itu semua kisah lalu.

Najwa sendiri bukan orang baharu tetapi konsistensi beliau dengan api kewartawanan yang tidak padam mela­yakkan dirinya digelarkan Barbara Walters atau Oprah dengan gaya sendiri.

Semoga, biar pun ada yang mengecam bahawa Najwa sekadar berkomentar tajam, namun tidak berbuat apa-apa di lapangan, penulis tetap berharap akan lahir lebih ramai lagi ‘Najwa Shihab’ selepas ini, khususnya dalam bidang kewartawanan di Malaysia.

Apa pun, dalam tindakan Najwa itu, dia menjadi simbolik kepada sebuah amaran.

Jangan cuba berdolak-dalik atau berdiam dengan wartawan.

Jika tidak mahu ditemu bual tanpa alasan yang konkrit atau enggan bersemuka tanpa pemberitahuan, pendedahan harus tetap berjalan walau dengan apa cara sekali pun.

Jadi pilihannya ada pada setiap orang baik kepada wartawan, politikus, artis atau mana-mana responden.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI