PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membentangkan tiga Rang Undang-Undang (RUU) pindaan akta pada sesi Dewan Rakyat akan datang bagi mengawal selia komuniti p-hailing di negara ini.
Ia membabitkan pindaan bagi Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, RUU itu penting bagi membolehkan MOT mempunyai punca kuasa mengawal selia sepenuhnya p-hailing seperti mana dilakukan kepada perkhidmatan e-hailing.
Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos lalu juga bersetuju supaya MOT dan agensi di bawahnya termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak untuk turut mengawal selia p-hailing.
“Sektor ekonomi gig semakin berkembang di negara ini justeru, p-hailing perlu dikawal selia supaya sektor perkhidmatan ini berdaya saing dan kompetitif untuk tempoh masa panjang selain melindungi kebajikan penunggang.
“Antara pindaan lain dicadangkan termasuk memastikan penunggang p-hailing mendapat perlindungan insurans dan meminda had umur penunggang tidak kurang dari 18 tahun berbanding 21 tahun ketika ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, jika RUU diluluskan kelak, pihaknya juga akan mewajibkan setiap penunggang p-hailing mempunyai Lesen Vokasional (GDL) seperti mana Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) oleh pemandu e-hailing.- KOSMO! ONLINE