DUNGUN – Sesetengah peniaga kedai runcit dan pasar raya mini di daerah ini dikesan ingkar dengan ketetapan harga siling minyak masak botol yang berkuatkuasa semalam.
Tinjauan Kosmo! di beberapa kedai runcit dan pasar raya mini di sekitar daerah ini mendapati minyak masak 5 kilogram (kg) dijual pada harga RM35 hingga RM41.50 berbanding RM34.70 ditetapkan kerajaan.
Minyak masak botol 2kg pula dijual pada harga RM17 hingga RM18 meskipun harga telah diselaraskan kepada RM14.70.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Anis, 34, memberi alasan tidak dapat mengikut arahan kerajaan berikutan membeli bekalan minyak masak botol dari pasar raya besar dengan harga siling terbabit.
“Saya terpaksa menjual minyak masak 5kg pada harga RM35, manakala RM17.90 untuk 2kg untuk mendapat sedikit keuntungan.
“Kami tidak mempunyai pemborong yang terus membekalkan minyak masak tetapi perlu membeli di pasar raya besar untuk jualan kepada penduduk kampung,” dakwanya semalam.
Seorang lagi peniaga kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Azhar, 40, mendakwa, dia masih menjual minyak masak dengan harga RM35.40 untuk 5kg dan RM16 untuk 2kg disebabkan bekalan itu merupakan stok lama.
“Saya ambil daripada pemborong dengan harga tinggi. Kalau saya jual dengan harga rendah, rugilah,” dakwanya.
Bagaimanapun di sebalik peniaga yang menjual melebihi harga siling, terdapat penjual yang menawarkan barangan berkenaan di bawah harga ditetapkan kerajaan.
Berita berkaitan: Harga siling minyak masak botol 5kg RM34.70 mulai 8 Ogos
Berita berkaitan: Jangan sorok bekalan minyak masak
Peniaga berkenaan, Nor Ayu Imani Mohd Nordin, 22, berkata, dia menjual minyak masak botol dengan harga ditetapkan kerajaan berikutan mendapat bekalan pada harga murah.
“Sebelum dikuatkuasa kerajaan pun, saya sudah hampir sebulan jual minyak masak botol dengan harga RM34.70 untuk 5kg.
“Lagipun, saya tidak mahu membebankan pelanggan yang semakin terdesak dengan kos sara hidup tinggi,” katanya.
Sementara itu di Johor Bahru, tinjauan mendapati rata-rata peniaga menjual minyak masak botol 5kg mengikut harga yang ditetapkan kerajaan malah ada beberapa jenama menjual lebih murah daripada RM34.70.
Seorang pengguna, Siti Maishara Supaid, 37, berkata, harga baharu itu membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana dalam mengurus perbelanjaan bulanan.
“Sebelum ini minyak masak melonjak mencecah RM50 satu botol dan ia membebankan, diharap pihak peniaga dapat menuruti penetapan harga ini dan tiada lagi kenaikan mendadak,” ujarnya.
Pengguna lain, Mohd. Ariff Hafizal Mohd. Fadzli, 30, berharap agar penetapan harga siling minyak botol itu akan turun menyebabkan beberapa barangan jualan lain lebih murah.
“Sebelum ini, ramai pihak menggunakan alasan minyak masak naik harga, tetapi kini apabila harga minyak masak turun, sepatutnya barangan lain juga perlu turun,” jelasnya.
Minggu lalu, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa menetapkan, harga minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi dalam botol 5kg akan ditetapkan secara bulanan dengan harga pada bulan ini adalah RM34.70.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat kerana mengambil kita penetapan harga maksimum Minyak Sawit Mentah (CPO) yang diumumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada setiap bulan.