Oleh NOR SHAFAWATI YUP
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan sedia ada dari kawasan zon merah Covid-19 ke kampus tersebut seperti yang disarankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut dibuat berikutan peningkatan kes Covid-19 di beberapa daerah di negara ini.
Menurut Mohamed Ridza, memandangkan potensi penularan pandemik yang semakin merebak pihak pengurusan USIM juga membuat keputusan menangguhkan sementara kehadiran pelajar ke kampus fizikal USIM sehingga notis makluman baharu dikeluarkan bagi kategori pelajar tertentu.
“Ini termasuk semua pelajar baharu dari Sabah serta pelajar dari mana-mana kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah dan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Sehubungan itu, pendaftaran serta proses pengajaran dan pembelajaran pelajar yang terlibat dari kawasan zon merah dan Sabah akan dilaksanakan secara dalam talian, pelajar boleh berhubung dengan pihak fakulti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, pelajar yang terlibat hanya dibenarkan masuk ke kampus atau kolej kediman USIM dalam keadaan sihat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada setelah kedaan kembali pulih dan kawsan berkenaan diisytihar bebas dari zon merah.
“Bagi pelajar bukan dari kawasan zon merh atau Sabah, kemasukan ke USIM kekal mengikut takwim akademik yang telah ditetapkan.
“USIM menasihatkan pelajar untuk mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan serta mengutamakan langkah-langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak fizikal,” katanya. – K! ONLINE