DUNGUN – Seorang warga emas yang baru kematian isteri tetap setia menunaikan tanggungjawab dengan menggalas tugas menjaga enam anaknya yang dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) walaupun dirinya kini tidak lagi kuat.
Kamaludin Embong, 72, berkata, dia mula memikul tanggungjawab itu bersendirian selepas isterinya, Azizah Bakar, 70, meninggal dunia empat bulan lalu.
Katanya, segala urusan enam anak iaitu Mohd. Fairus, 44; Mohd. Zulkifli, 40; Hazura, 37; Hatikah, 35; Mohd. Shahrul, 30, dan Mohd. Azeem Asyraf, 27, dibuat dengan rasa tanggungjawab walaupun kudratnya tidak begitu mengizinkan.
“Saya ada 12 anak. Enam dilahirkan sebagai bisu dan pekak selain perkembangan mental mereka tak normal.
“Hazura lumpuh dan perlukan bantuan kerusi roda yang dipinjam daripada jiran untuk bergerak, manakala Mohd. Zulkifli pula hanya terlantar atas katil. Mereka perlu penjagaan lebih untuk membuat semua aktiviti termasuk dimandikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Serdang di sini baru-baru ini.
Menurut Kamaludin, empat lagi anaknya boleh menguruskan diri sendiri, namun masih perlu dipantau kerana kerap diserang sawan.
Tambahnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana tugas penjagaan anak-anak OKU itu sering dibantu anaknya yang normal terutama Rozita, 40, yang tinggal berhampiran.
“Rozita kerap datang ke rumah pada hujung minggu untuk membantu saya. Ikutkan kaki kanan saya tidak terlalu kuat akibat kemalangan pada beberapa tahun lalu.
“Apa pun terjadi, saya nekad untuk menjaga kesemua anak istimewa ini hingga ke akhir hayat,” katanya.
Ujar Kamaludin, kehidupan mereka tujuh beranak ditampung menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM1,800 sebulan.
“Walaupun jumlahnya nampak besar tetapi kurang mencukupi untuk menampung kami tujuh beranak terutama Mohd. Zulkifli dan Hazura yang memerlukan susu khas dan lampin pakai buang,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Kamaludin bernombor 11200-29-84724972-8 atau menghubungi Rozita di talian 017-940 1171.