JAKARTA – Seorang wanita yang berasal dari Palembang, Sumatera Selatan menjadi perhatian ramai kerana berkahwin dengan suami berusia 24 tahun lebih muda daripadanya, lapor portal berita Wolipop kelmarin.
Berdasarkan video yang tular di laman TikTok, wanita bernama Rusdian itu berkongsi gambar majlis perkahwinan mereka yang berlangsung secara sederhana serta hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.
“1967 dan 1991. Terima kasih kepada yang mendoakan saya dan suami,” tulis keterangan pada klip video tersebut.
Menurut Rusdian, dia kini tinggal di Malaysia selepas berkahwin dengan suaminya, Yoga pada 10 Julai lalu.
Dia juga banyak menerima komen negatif daripada netizen dalam akaun TikTok miliknya.
“Banyak orang mengambil video saya tanpa kebenaran. Video kami telah berada di YouTube selain banyak berita mengenai kami tersebar di internet,” katanya.
Tambah wanita berusia 55 tahun itu, terdapat juga netizen yang menyoal mengenai status dirinya pada ruangan komen.
“Saya ialah seorang janda anak tiga. Memang betul Yoga ialah suami saya, apa yang dihairankan? Terpulang kepada anda semua mahu fikirkan apa sahaja, yang penting saya bukan perampas suami orang,” ujarnya.
Tambah Rusdian, meskipun ramai yang mendakwa bahawa suaminya kelihatan seperti anaknya, dia tidak kisah akan tanggapan negatif itu sebaliknya bahagia bersama Yoga.
“Suami membimbing saya walaupun dia masih muda dan menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya. – Agensi