fbpx

Hilang pahala tegur jemaah ketika khatib berkhutbah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Solat Jumaat adalah syiar Islam yang merupakan perhimpunan mingguan umat Islam di masjid untuk mendengar nasihat agama.

Seterusnya, mendirikan solat dua rakaat sebagai kemuncak penyempurnaan sembahyang Jumaat.

Namun, masih ramai yang tidak faham dan enggan mengambil tahu tentang perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahalanya.

Baru-baru ini, ketika penulis khusyuk mendengar khutbah sewaktu berkesempatan menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di ibu negara, terdengar satu suara di belakang yang agak kuat seperti memarahi sesuatu.

Ketika menoleh, penulis melihat seorang lelaki berjubah putih dan berketayap sambil memegang tasbih di tangan meminta seorang jemaah agar tidak bermain dengan telefon bimbit dan mendengar apa yang disampaikan khatib.

Dia kemudian berlalu pergi selepas memberi amaran lisan itu dan dilihat seolah-olah seperti pengawas atau warden sekolah yang meronda mencari kesalahan jemaah yang leka dengan urusan dunia ketika khutbah dibacakan.

Dilihat pada gayanya, dia mungkin orang kuat masjid, kalau tidak manakan berani memberi kata dua kepada jemaah yang dilihat lalai seketika.

Namun, penulis berasakan cara yang digunakan itu tidak kena dengan roh solat Jumaat itu sendiri kerana ramai mengetahui, jika menyuruh orang lain dengan berkata diam sekalipun, ia boleh merosakkan pahala Jumaat. Apatah lagi mengeluarkan kata-kata dengan nada kuat.

Teringat penulis ketika belajar satu ketika dahulu, seorang ustaz pernah memberitahu tentang satu hadis yang melarang berbuat demikian.

Sabda Rasulullah SAW, “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia). (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Apa yang penulis faham daripada peristiwa yang berlaku adalah niat lelaki itu baik meminta jemaah mendengar khutbah dan mengambil pengajaran daripadanya, tetapi caranya tidak berapa kena pada tempatnya.

Masalahnya, dia meminta orang lain agar tidak bermain telefon, pada masa sama, adakah dia sendiri mendengar khutbah yang disampaikan itu kerana sibuk meronda dan memarahi jemaah lain.

Bagi jemaah pula, tinggalkan seketika urusan dunia dalam bentuk WhatsApp, Instagram, Facebook atau sebagainya ketika khatib membaca khutbah.

Tidak lama pun rasanya, tidak sampai sejam selepas semuanya selesai termasuk solat Jumaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI