KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terus mencipta sensasi pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila melangkah ke perlawanan akhir menewaskan wakil India, K. Srikanth sebentar tadi.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di National Exhibition Centre (NEC) itu, dia menampilkan keazaman cukup tinggi bagi menyingkirkan Srikanth menerusi kemenangan tiga set 13-21, 21-19, 21-10.
Bagaimanapun, Tze Yong memulakan saingan dengan agak perlahan apabila membenarkan Srikanth menguasai sepenuhnya set pertama selepas ketinggalan 4-13 sebelum akur menerusi kekalahan 13-21.
Memasuki set kedua, perlawanan dilihat berlangsung seimbang dengan kedua-dua pemain saling bertukar servis selain kedudukan mata yang tidak jauh berbeza, sekali gus memastikan Tze Yong bermain lebih yakin.
Kekuatan mental yang ditunjukkan pemain No.42 dunia itu nyata membantunya untuk bertahan serta memberi tentangan kepada Srikanth, seterusnya menang 21-19 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada set ketiga, Tze Yong menampilkan aksi lebih baik berbanding Srikanth yang dilihat sudah kepenatan dan menguasai sepenuhnya permainan sebelum memastikan kemenangan mutlak 21-10 bagi melangkah ke perlawanan akhir.
Menerusi kemenangan itu, Tze Yong akan membuat perhitungan dengan seorang lagi jaguh India, Lakshya Sen yang memastikan tempat ke pentas final lebih awal selepas menewaskan wakil Singapura, Jason Teh 21-10, 18-21, 21-16.
Pada pusingan suku akhir yang berlangsung semalam, Tze Yong melakar kejutan apabila menyingkirkan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew selepas menang menerusi aksi tiga set 15-21, 21-14, 21-11.
Sebagai rekod, Malaysia merupakan juara bertahan dalam acara perseorangan lelaki menerusi legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei yang merangkul pingat emas pada edisi di Gold Coast, Australia empat tahun lalu. – KOSMO! ONLINE