PARIS – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar disahkan mengalami kecederaan betis ketika membantu pasukannya meraih kemenangan 2-0 ke atas Reims pada aksi Ligue 1 di Stade Auguste-Delaune baru-baru ini.
Justeru, khidmat Neymar berkemungkinan besar terpaksa dilupakan menjelang perlawanan liga seterusnya menentang Angers di Parc des Princes pada Sabtu ini berdasarkan keputusan daripada hasil pemeriksaan pasukan perubatan PSG.
“Neymar mengalami kecederaan betis dan mungkin perlu direhatkan untuk pertembungan menentang Angers. Keputusan rasmi hanya akan diketahui sehari sebelum perlawanan,” menurut kenyataan rasmi daripada PSG.
Sementara itu, ketua jurulatih PSG, Thomas Tuchel berharap kecederaan dialami penyerang antarabangsa Brazil tersebut tidak serius sekali gus membolehkannya kembali beraksi dalam masa terdekat.
“Saya lihat dia (Neymar) tidak selesa selepas aksi menentang Reims. Saya harap keputusan imbasan yang bakal dilakukan tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia perlu berehat panjang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, PSG turut mengesahkan pemain pertahanan, Juan Bernat sudah selamat menjalani pembedahan lutut selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) awal bulan lalu.
“Bernat kini dalam proses pemulihan selepas selamat menjalani pembedahan di Hospital Pitie Salpetriere awal minggu ini. Dia dijangka terlepas daripada aksi bersama skuad utama sehingga penghujung musim ini,” jelas Tuchel. – AGENSI