BARCELONA – Kapten Barcelona, Lionel Messi mengakui, tindakan kontroversi yang dilakukannya untuk berhijrah pada jendela perpindahan antarabangsa sebelum ini semata-mata demi kebaikan kelab gergasi La Liga itu.
Messi pernah meluahkan hasratnya untuk berhijrah bulan lalu selepas ejennya mendakwa penyerang berusia 33 tahun itu boleh menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan secara percuma.
Namun, Barcelona mengesahkan klausa tersebut tidak boleh digunakan dan mana-mana pasukan yang mahu menandatangani khidmat Messi perlu menebus yuran pelepasan dalam kontraknya bernilai €700 juta (RM3.4 bilion).
Susulan itu, Messi membuat keputusan untuk kekal beraksi di bawah kendalian ketua jurulatih baharu The Catalan, Ronald Koeman walaupun sudah mendapat tawaran rasmi daripada gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City dengan tawaran gaji yang lumayan.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya berhubung isu yang ditimbulkan sebelum ini. Selepas berbincang, saya percaya misi dan visi Barcelona musim ini masih lagi pada landasan yang tepat dan saya cukup berpuas hati dengan penerangan daripada pihak pengurusan.
“Bagaimanapun, saya ingin mengesahkan bahawa keputusan untuk berhijrah sebelum ini kerana mahu membantu Barcelona menjadi lebih kuat semula tetapi kali ini tanpa kelibat saya dalam skuad utama di bawah bimbingan jurulatih baharu (Koeman),” katanya.
Sebagai rekod, Messi telah membuktikan dia kini sudah tidak merajuk apabila berjaya menjaringkan satu gol membantu Barcelona mencatat kemenangan 4-0 ke atas Villarreal pada aksi pertama mereka dalam saingan La Liga baru-baru ini. – AGENSI