fbpx

Bonnie bakal jalani pembedahan bahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BONNIE mengakui proses pembedahan mampu membantunya untuk pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan bahu. - AFP

JAGUH powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin berdepan kemungkinan menjalani pembedahan bahu dalam masa terdekat selepas menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Atlet kelahiran Serian, Sarawak itu menganggap kecederaan yang dialami serius memandangkan labrum bahunya terkoyak, sekali gus berpendapat menjalani pembedahan adalah jalan terbaik untuk dia pulih sepenuhnya.

Berdasarkan perbincangan yang dilakukan bersama jurulatih dan doktor, Bonnie menjelaskan, dia memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan bagi memastikan dia benar-benar sembuh selepas menjalani pembedahan.

“Perancangan saya selepas ini adalah untuk beri tumpuan kepada rawatan bahu kerana ada kejohanan dunia di Dubai Jun tahun depan. Sepatutnya hujung tahun ini pun ada kejohanan tetapi saya tidak sertai kerana mahu lakukan rawatan dahulu.

“Kecederaan ini boleh dikatakan serius kerana koyak bahagian labrum dan kemungkinan perlu jalani pembedahan. Selepas pembedahan, mungkin ambil masa sehingga enam bulan untuk sembuh,” katanya sebaik tiba di tanah air.

Sebagai rekod, Bonnie merangkul pingat emas pada Sukan Komanwel apabila mengumpul 154.6 mata keseluruhan selepas melakukan angkatan pertama 210 kilogram (kg), 216kg (kedua) dan 220kg (ketiga), sekali gus memperbaharui rekod temasya.

Atlet berusia 23 tahun itu turut mendedahkan, dia terpaksa mengambil ubat tahan sakit ketika menggalas misi negara kerana sudah menanggung kesakitan dua bulan sebelum Komanwel berlangsung gara-gara kecederaan yang dialami.

“Memang sakit ketika melakukan angkatan sebelum ini tetapi saya tahan sahaja. Ketika itu, memang ada ambil ubat tahan sakit serta dapatkan rawatan bagi memastikan saya selesa untuk melakukan angkatan.

“Sebenarnya, saya sudah tanggung kesakitan ini dua bulan sebelum Sukan Komanwel berlangsung ketika menjalani latihan di Kampung Pandan. Mungkin saya ada kesilapan dari segi teknik angkatan,” ujar Bonnie. – KOSMO ONLINE!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI