fbpx

Siti Nurhaliza puas rai peminat wanita, golongan B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI ramah melayan mesra peminat-peminatnya yang hadir menyaksikan showcase Queen Of The Night yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur malam tadi.

PETALING JAYA – Sesuai benar dengan statusnya sebagai penghibur tersohor negara, persembahan Queen of The Night daripada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung malam tadi berjalan dengan cukup sempurna.

Menerusi persembahan yang dianjurkan oleh B’ De Paris di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur tersebut, Siti menghiburkan seisi dewan dengan seleksi 15 buah lagu pilihan.

Kebanyakan lagu yang dipersembahkan ibu kepada dua cahaya mata itu berkisar tentang inspirasi dan wanita.

Kata penyanyi berusia 43 tahun itu, dia berasa sangat terharu melihat kehadiran ramai peminat yang datang dari pelbagai pelosok negeri termasuk Perak, Pahang dan Johor menyaksikan persembahannya.

“Terharu saya tengok ramai datang dari banyak pelosok negara. Paling buatkan saya tersentuh dan gembira, malam ini ada penonton berbilang bangsa. Ada Melayu, Cina dan India.

“Saya tahu ramai peminat yang datang malam ini sudah lama teringin nak tengok persembahan saya, terima kasih kerana sudi hadir,” kata Siti.

Lebih mengharukan, kebanyakan peminatnya yang hadir pada malam tadi adalah daripada golongan B40 dan kebanyakannya merupakan kaum wanita hasil sumbangan tiket yang dibeli oleh Yayasan Metamorphosis.

Siti memulakan tirai persembahan dengan lagu Nona Zaman Sekarang dan Cindai yang disusun semula dengan elemen muzik tradisional dan moden.

Malah Siti turut mendedikasikan sebuah lagu khas buat kaum wanita berjudul Azizah yang merupakan dendangan asal Tan Sri P. Ramlee selain beberapa hit lain seperti Aku Bidadari Syurgamu, Seribu Kemanisan, Siapa Tak Mahu, Lebih Indah dan Anta Permana.

Showcase Queen of The Night merupakan persembahan Siti pada fasa peralihan endemik sebelum pada November depan dia akan muncul dengan sebuah konsert amal Music Of The Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza di Dewan Plenary, KLCC. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI