fbpx

Gaji rendah punca lepasan SPM tak sambung belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi melihat tapak projek sekolah baharu, SMK Bohor Jaya di Jalan Ulu Melaka, Langkawi hari ini.

LANGKAWI – Kementerian Pendidikan mengakui kadar gaji yang rendah dan tidak banyak berubah setelah sekian lama menjadi antara cabaran dalam memastikan kalangan pelajar terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kadar gaji yang ditawarkan tidak banyak berubah sejak dahulu lagi dan pada masa sama kos sara hidup terus meningkat.

“Jika dulu pada peringkat awal iaitu tahun 80-an, kita bersaing atas dasar tenaga kerja murah, namun apabila struktur ekonomi berubah kepada ekonomi bernilai tinggi, ia masih tidak capai tahap sepatutnya.

“Maka bila anak-anak masuk ruang pekerjaan, mereka lihat belajar pun gaji tidak tinggi, jadi itu antara cabaran yang kita hadapi,” katanya selepas merasmikan gimik Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bohor Jaya di sini di SMK Kedawang di sini hari ini.

Beliau selepas itu turut melawat tapak projek pembinaan sekolah baharu itu di Jalan Ulu Melaka di sini yang dijangka siap pada 8 Januari 2025.

Justeru itu, kata Radzi, kerajaan perlu memfokuskan kepada pembinaan ekonomi bernilai tinggi yang mana ia mampu menyumbang kepada pendapatan lebih lumayan kepada rakyat.

“Ini perkara yang kerajaan perlu beri tumpuan khusus dan KPM akan bekerjasama dalam menyediakan keperluan pelajar supaya bila mereka keluar nanti, mereka boleh bekerja dalam konteks ekonomi bernilai tinggi dengan pendapatan lebih tinggi,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan yang mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran, beliau berkata, pihaknya perlu melihat semula dan memperincikan data tersebut.

“KPM masih duduk untuk melihat kohort usia mana yang disebut itu. Kalau melibatkan mereka yang baru keluar daripada sistem, ada pendekatan ingin kita laksanakan yang mana sebarang tindakan adalah berdasarkan perincian data,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI