KUALA LUMPUR – Gimnas muda kebangsaan, Ng Joe Ee memastikan kontinjen Malaysia mencapai sasaran ditetapkan pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila menghadiahkan pingat emas keenam negara sebentar tadi.
Pada saingan yang berlangsung di Arena Birmingham itu, Joe Ee menampilkan aksi cukup memukau apabila merangkul dua pingat emas menerusi disiplin bola dan riben, sekali gus memastikan sasaran Malaysia tercapai.
Meskipun membuat penampilan sulung pada temasya sukan empat tahun sekali itu, namun dia menampilkan aksi cukup baik menerusi disiplin riben sebentar tadi apabila mengutip mata tertinggi 27.800 mata bagi merangkul pingat emas keenam negara.
Sementara itu, pingat perak menjadi milik atlet Scotland, Louise Christie selepas mencatat 27.550 mata manakala pingat gangsa dimenangi atlet Kanada, Carmel Kallemaa menerusi catatan 27.500 mata.
Dalam pada itu, seorang lagi gimnas negara, Koi Sie Yan terpaksa berpuas hati selepas menamatkan disiplin riben di tempat keempat apabila hanya mengutip 27.200 mata.- KOSMO! ONLINE