MADRID – Seorang lelaki Perancis berusia 62 tahun terselamat apabila berada di dalam gelembung udara selama selama 16 jam selepas perahu layarnya terbalik di Lautan Atlantik, lapor stesen televisyen Sky News kelmarin.
Mangsa yang tidak didedahkan identitinya, diselamatkan dalam operasi yang disifatkan sebagai mustahil, selepas pasukan kecemasan menerima isyarat kecemasan, Isnin lalu.
Isyarat kecemasan itu dikesan di perairan Kepulauan Sisargas, barat laut Sepanyol, kata pasukan pengawal pantai.
Sebuah kapal penyelamat yang membawa lima penyelam belayar untuk menyelamatkan lelaki itu. Lokasinya dikesan oleh salah satu daripada tiga helikopter yang dihantar untuk membantu usaha pencarian.
Lelaki itu memberi tindak balas kepada penyelam mengetuk badan perahu dari dalam.
Bagaimanapun, pada masa itu, laut terlalu bergelora dan memaksa pasukan itu memasang beberapa biji belon keapungan pada badan perahu untuk mengelakkannya daripada tenggelam dan menunggu sehingga awal pagi.
Lelaki itu ditemui di bawah bot tersebut. Dia memakai sut kelangsungan hidup neoprena dan ditenggelami air hingga paras lutut ketika dua penyelam berenang ke bawah untuk membantunya keluar.
Dia kemudian dibawa ke tempat selamat dengan menaiki helikopter sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Lelaki tersebut dibenarkan pulang tidak lama kemudian.
Data pengesanan menunjukkan perahu layar mangsa, Jeanne SOLO Sailor telah berlayar dari ibu kota Portugal, Lisbon pada pagi hari sebelumnya. – Agensi