TEKA-teki mengenai pengendali baharu skuad bawah 23 tahun (B-23) negara akan diketahui selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.
Jaminan tersebut diberikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengesahkan penilaian mengenai barisan kejurulatihan baharu sudah hampir 80 peratus lengkap.
Kata Hamidin, harapan besar telah diberikan kepada jurulatih terbabit untuk menjalani kerjasama yang rapat dengan skuad utama Harimau Malaya bagi memastikan kesinambungan serta kejayaan kedua-dua pasukan dapat berjalan seiring.
“Saya memiliki hasrat yang tinggi untuk memastikan skuad B-23 negara dapat mengecapi kejayaan di peringkat antarabangsa dan sudah pasti calon ketua jurulatih B-23 nanti perlu bekerjasama erat dengan skuad senior negara.
“Jika tiada apa-apa perubahan, kami akan maklumkan pada penghujung bulan kerana masih dalam proses penilaian jawatankuasa teknikal memandangkan kita bukan lantik individu sahaja, sebaliknya dia akan hadir bersama barisan kejurulatihan peribadi.
“Harapan saya, sudah pastilah skuad B-23 yang berwajah baharu nanti akan mengecapi kejayaan seiring dengan skuad nasional kerana mereka akan mengharungi banyak kejohanan seperti Sukan Asia 2022, Sukan SEA 2023 dan kelayakan Piala Asia B-23.
“Sama ada jurulatih terbabit adalah jurulatih tempatan atau import, biarlah ia diketahui nanti,” katanya.
Hamidin ditemui pemberita selepas tamat Kongres FAM kali ke-58 yang berlangsung di Petaling Jaya, semalam.
Sekiranya jurulatih import yang dilantik, Hamidin mengakui salah seorang jurulatih tempatan mungkin akan diserapkan dalam barisan kejurulatihan seperti skuad senior ketika ini.